Sirul boleh terus dipenjara ikut undang-undang anti-pengganas Australia

Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar, yang dibebaskan bersama puluhan tahanan bukan warganegara oleh Mahkamah Tinggi dua minggu lalu, kini mungkin dipenjarakan semula.

Ini susulan tindakan kerajaan Australia mempertimbangkan mahu mengguna pakai terhadap mereka undang-undang sama seperti dalam kes berkaitan pengganas.

Menurut laporan berita, kerajaan Australia sedang mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman penjara terhadap 93 pesalah yang dibebaskan dengan kebanyakan mereka terbabit kesalahan paling ganas.

Antara kesalahan yang disebut termasuk rogol, pembunuhan dan pedofilia.

Sirul dijatuhi hukuman mati di Malaysia atas pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, bersama rakannya, Azilah Hadri.

Dia secara konsisten dirujuk sebagai ‘individu diupah meletupkan mayat wanita Mongolia yang hamil selepas membunuhnya’ dalam kebanyakan laporan berita Australia.

Australia tidak akan menghantar pulang Sirul ke Malaysia kerana undang-undang negara itu tidak membenarkan mereka yang menghadapi hukuman mati dihantar pulang ke negara asalnya.

“Kerajaan Persekutuan sudah mendapatkan nasihat undang-undang mengenai prospek menggunakan undang-undang di bawah langkah penahanan-pencegahan.

“Ini cara untuk menahan semula bukan warganegara yang pernah menjalani hukuman penjara kerana kesalahan seperti rogol dan pembunuhan,” menurut Sydney Morning Herald yang memetik dua sumber.

Laporan itu berkata, ia adalah antara pelbagai pilihan yang dipertimbangkan untuk mengurangkan risiko ditimbulkan oleh pesalah paling teruk dalam kalangan mereka yang dibebaskan setakat ini.

Pada masa sama, laporan itu menyatakan, jumlah yang dibebaskan dijangka meningkat dalam beberapa minggu akan datang.

Awal bulan ini, mahkamah paling berkuasa di Australia, memutuskan penahanan imigresen tanpa had adalah menyalahi undang-undang, mencetuskan kemelut politik kepada kerajaan apabila berpuluh-puluh bekas penjenayah tiba-tiba dibebaskan.

“Sumber itu berkata kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai pilihan penahanan-pencegahan atau apa-apa kaedah seumpamanya.

“Kerajaan sedang berusaha memastikan sama ada ia berada di atas asas undang-undang yang kukuh untuk menggubal peraturan baharu sebelum Mahkamah Tinggi menerbitkan alasan penuh bagi keputusannya tahun depan,” kata laporan itu.

Selepas kritikan bertubi-tubi mengenai kepantasan dan kekuatan tindak balas kerajaannya terhadap keputusan mahkamah, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menegaskan beliau bersedia menerima akibatnya.

Laporan itu berkata, beliau mengalihkan soalan mengenai sama ada kerajaan sedang mempertimbangkan langkah-langkah penahanan-pencegahan.

Sebaliknya, Albanese menekankan kepentingan membaca alasan terperinci mahkamah bagi penghakiman yang mengubah dasar penahanan imigresen selama beberapa dekad.

“Kita melakukan semua yang perlu dilakukan, segala-galanya dalam kuasa kita untuk memastikan orang ramai selamat. Itulah keutamaan pertama, kedua dan ketiga kita.

“Apa yang sudah dilakukan ialah menangani keadaan tidak menentu ini. Ia bukan perkara yang kita mahu. Kita tidak membuat keputusan untuk membebaskan mereka,” katanya kepada Sky News. – Agensi

Baca juga: