Nasional

Pengendali media sosial perlu berdaftar

Kerajaan tidak bercadang untuk menutup mana-mana platform media sosial yang beroperasi di negara ini sebaliknya syarikat pengendali diminta mendaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Bagi tujuan itu, SKMM diarahkan untuk menyediakan kerangka supaya proses pendaftaran dapat dilakukan secepat mungkin.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, buat masa ini, kerangka untuk pengendali plaform media sosial mendaftarkan diri dengan SKMM masih belum ada.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya memberi SKMM sedikit masa untuk mengenal pasti beberapa perkara seperti menimba pengalaman dari luar atau mengadakan perbincangan dengan penyedia platform media sosial di Malaysia.

“Kita tak berhasrat waktu ini untuk menutup platform seperti TikTok dan yang lain sebab Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara.

“Tapi, masa yang sama dengan adanya kebebasan itu, mesti ada tanggungjawab, sekiranya mana-mana pihak termasuk platform yang mungkin tersalah langkah ataupun menyatakan membuat kenyataan yang ekstremis disebar luar maka boleh diambil tindakan,” katanya lapor Utusan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas rakaman Program Suara Anak Madani Kuala Lumpur pada Jumaat.

Menurut Fahmi, kementeriannya akan memastikan semua platform media sosial yang beroperasi di negara ini akan mendaftar dengan SKMM sebaik saja kerangkanya diperkenalkan kelak.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital akan mengadakan dengan beberapa kementerian lain bagi meneliti keperluan untuk mengawal selia TikTok Shop seperti yang dilakukan Indonesia.

“Bila kita lihat keadaan di Indonesia mereka juga tidak berhasrat untuk mengharamkan atau menutup TikTok tetapi mengambil langkah mengawal selia TikTok Shop kerana tidak mahu produk luar negara dilambakkan ke negara mereka.

“Di Malaysia (isu TikTok Shop), lebih kepada bidang kementerian lain tapi kita lihat nanti kita akan panggil setelah mendapat maklumat dan panggil beberapa kementerian lain untuk kita selaraskan beberapa tindakan,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close