Aksi menantu bekas Perdana Menteri, HD Deve Gowda iaitu Bhavani Revanna menarik perhatian media apabila tular sebuah video memaparkan dirinya sedang mengamuk dan memarahi seorang penunggang motosikal.
Memetik laporan media tempatan, The Hindu, insiden tersebut berlaku sekitar awal Disember lalu di wilayah Ramapura, India.
Difahamkan, perkara itu berlaku apabila penunggang motosikal terbabit merempuh bahagian depan kenderaannya sehingga mengakibatkan kerosakan.
Dalam video itu juga dilihat Bhavani yang juga isteri kepada Ahli Dewan Undangan Karnataka dan pemimpin parti politik, Janata Dal, HD Revanna, meninggikan suara sambil menunjukkan bahagian kenderaan yang calar.
Bhavani juga dilihat menggunakan kata-kata kesat ketika memarahi penunggang terbabit di depan khalayak.
Disebabkan itu penduduk kampung berasa tidak puas hati dan mempersoal tindakan isteri kepada tokoh politik berkenaan kerana lebih mementingkan tentang keadaan keretanya berbanding keselamatan orang awam.
“Kalau datang dari arah bertentangan sepatutnya memotong dari kiri. Sekarang lihat apa jadi pada kenderaan saya yang bernilai Rs 1.5 crore (RM839,273).
“Sebelum ini kereta saya tidak pernah ada calar. Kalau awak mahu mati, pergi masuk bawah bas, ini tidak langgar pula kereta saya. Sekarang rosak bagaimana?” soal Bhavani.
Susulan kejadian itu, pemandu Bhavani membuat laporan polis dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 291. – Agensi