Jovian, Nina sepakat untuk berpisah selepas 10 tahun kahwin

Pereka fesyen dan usahawan, Datuk Jovian Mandagie mengumumkan berpisah dengan isterinya, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.

Perkara tersebut dimaklumkan Jovian menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram pada Selasa.

Menurutnya, keputusan untuk mengakhiri perkahwinan itu sudah disepakati bersama Nina Sabrina.

“Pada Ogos lalu, kami memutuskan untuk berpisah kerana percaya ini yang terbaik dan sebagai ibu bapa, kebahagiaan anak kekal menjadi keutamaan.

“Alhamdulillah, kami dah buat yang terbaik. Kasih sayang terhadap keluarga dan ibu bapa juga tidak berubah. Kita yakin dengan perancangan Allah SWT.

“Sepanjang sedekad lalu, ramai yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kami dan harap anda semua masih menyokong kami seperti biasa,” katanya.

Untuk rekod, Jovian dan Nina Sabrina mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2013 di Muzium Diraja, Istana Negara Lama.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Jeanelle Nika Mandagie pada 1 November 2017.

Anda Mungkin Berminat