Tiga sungai di Kedah sudah melepasi paras bahaya berikutan hujan sejak dua hari lalu.
Sungai berkenaan ialah Sungai Bata dan Sungai Padang Terap di Kepala Batas dalam daerah Kubang Pasu serta Sungai Anak Bukit di Taman Aman di daerah Kota Setar.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata setakat jam 10 pagi, bacaan paras air ketiga-tiga sungai sudah melepasi paras bahaya dan semakin meningkat.
“APM Kedah sentiasa bersiap siaga dengan menggerakkan anggota untuk membuat pemantauan secara berkala di kawasan berkenaan.
“Pemantauan juga dipertingkatkan terutama berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang meramalkan hujan di beberapa kawasan berkenaan. Bagaimanapun setakat ini, keadaan masih terkawal,” katanya lapor Berita Harian.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Abdul Haliq Rafiq Mokhtar, berkata anggota APM Kota Setar melakukan tinjauan di kawasan Mukim Pumpong sejak malam tadi dan mendapati paras air sungai masih terkawal.
Beliau berkata, berlaku sedikit kenaikan air di kawasan kampung berkenaan tetapi masih terkawal dan anggotanya masih melakukan pemantauan hari ini di lokasi berhampiran Sungai Anak Bukit.