Polis ambil keterangan ibu bapa Zayn Rayyan kali kedua

Polis sudah merekod semula keterangan ibu dan bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin bagi membantu siasatan pembunuhan anak malang terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, ketika mengesahkan tindakan itu, berkata keterangan kedua-duanya diambil malam tadi dan mungkin akan diambil sekali lagi.

Menurutnya, keterangan jiran dan saksi juga akan diambil dalam tempoh masa terdekat bagi melengkapkan siasatan.

“Kita selesai ambil keterangan mereka kali kedua malam tadi dan akan lihat keperluan sekiranya akan ambil lagi maklumat-maklumat lain,” katanya kepada media lapor Berita Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, proses pencarian bahan bukti masih giat dilakukan di lokasi kejadian sejak malam tadi dalam membantu siasatan pembunuhan Zayn Rayyan, enam tahun.

Terdahulu, polis akan akan meneruskan usaha mengumpul bukti-bukti yang ada dalam membantu dalam menjejak pembunuh Kanak-kanak Autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di sekitar kawasan mayatnya ditemukan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, semalam memaklumkan polis akan merakam semula keterangan ibu bapa Zayn Rayyan, selepas bedah siasat menunjukkan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu mati akibat dibunuh.

Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

Selain itu, katanya polis Selangor turut mewujudkan ‘task force’ (pasukan khas) fokus untuk membantu dalam siasatan kes ini.