Siapakah Juara All Stars Gegar Vaganza? 

Lapan peserta program televisyen popular, All Stars Gegar Vaganza bersaing merebut gelaran juara pada konsert minggu akhir yang diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad. 

Menariknya, lima daripada peserta merupakan bekas juara daripada musim terdahulu yang berjaya berentap di pentas akhir antaranya Azharina (musim ke-3), Siti Nordiana (musim ke-2), Naqiu; Hardy Mirza (musim ke-6) dan Jaclyn Victor (musim ke-9). 

Sementara itu, Nikki Palikat, Liza Hanim dan Tomok, masing-masing merupakan bekas naib juara dan tempat keempat bagi musim ke-8 (Nikki), musim ke-4 (Liza) dan musim ke-9 (Tomok). 

Pada acara itu, masing-masing akan mempamerkan aksi tersendiri untuk membawa pulang gelaran juara sekali gus bakal memperoleh trofi, wang tunai dan hadiah sumbangan penaja. 

Selain persembahan solo, peserta turut diuji dengan menyanyikan lagu duet bersama penyanyi terkenal manakala pusingan battle pula, mereka akan menyanyikan lagu popular Korea Selatan iaitu Kill This Love dan Sorry, Sorry. 

Untuk info, rancangan tersebut dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse manakala juri tetap pula ialah Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.

Program itu juga bersiaran secara langsung menerusi saluran Astro Ria pada pukul 9 malam.