Nadeera tetap jadi pilihan menyanyikan lagu Astana di SFMM38

Syarikat rakaman Rocketfuel Entertaiment tetap dengan pendirian mereka untuk tidak menyenaraikan penyanyi, Ernie Zakri bagi menyampaikan lagu Astana di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38).

Katanya dalam satu kenyataan, Rocketfuel Entertainment meletakkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan artis yang sedang meningkat naik, Nadeera untuk menyanyikan lagu tersebut nanti.

Malah, mereka turut menjelaskan pencalonan lagu Astana berlaku pada bulan Februari lalu iaitu semasa Ernie atau nama lengkapnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, masih di bawah naungan syarikat pengurusan tersebut sebelum berpindah ke organisasi baharu pada Julai.

“Kami menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak pengurusan penyanyi asal lagu Astana untuk tidak terlibat dalam menyanyikan lagu ini di pentas SFMM38.

“Pihak kami yakin dan pasti dengan pemilihan ini kerana Nadeera merupakan calon yang amat sesuai untuk membawakan lagu Astana dan memastikan lagu ini dinyanyikan dengan seadilnya,” katanya pada Khamis.

Dalam pada itu, Rocketfuel memaklumkan bahawa Amira Othman dan Syamel yang tidak lagi berada di bawah naungan mereka telah bersetuju untuk membawakan lagu nyanyian mereka di pentas penuh prestij itu nanti.

Sebelum ini, Ernie mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Rocketfuel di Instagram yang mengatakan dirinya tidak akan menyanyikan lagu terbabit di SFMM38.

Pada masa sama, syarikat pengurusan baharu Ernie, Universal Music Malaysia juga mengatakan bahawa pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan stesen televisyen, TV3 (Media Prima) dengan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA). Bagaimanapun, perbincangan yang dibuat pada Ogos lalu itu tidak dapat mencapai penyelesaian memuaskan.

Untuk rekod, SFMM38 akan bermula pada 15 hingga 17 Disember depan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat