Seorang pemandu treler maut dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di kilometer 457.0, Lebuh Raya Utara Selatan, di Sungai Buloh, malam tadi.
Komander Operasi PBK II, Shahrul Azlan E Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan telefon mengenai kejadian itu pada pukul 9.58 malam.
Katanya, sebanyak tujuh anggota serta dua jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan itu melibatkan enam buah kenderaan iaitu lori treler yang membawa muatan batu dan sebuah lori kontena.
“Kenderaan lain ialah kereta Perodua Axia, Honda HRV, Honda Vity dan Nissan Almera,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Menurut beliau, pemandu treler berusia lingkungan 30-an yang terlibat nahas berkenaan didapati tersepit di ruangan pemandu dan sedang dikeluarkan oleh anggota bomba.
“Namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan akibat kecederaan parah.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Baca lagi: