Siti Aminah nafi nama digugurkan sebab prestasi tidak memuaskan

Bekas Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching yang digugurkan dalam rombakan Kabinet Persekutuan Selasa lalu, menafikan pengguguran dirinya disebabkan prestasi yang tidak memuaskan.

Ahli Parlimen Beaufort itu berkata, penggugurannya mungkin atas sebab untuk memberi laluan kepada Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Noraini Ahmad yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, pemilihan jemaah menteri, termasuk timbalan menteri juga adalah atas budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau akur serta menerima secara terbuka keputusan yang dibuat.

“Saya berlapang dada menerima pengguguran ini, bagi saya ia mungkin untuk memberikan ruang kepada Noraini selaku Ketua Wanita Umno.

“Jadi kita perlu akur dan melihat hierarki dalam parti,” katanya dalam kenyataan lapor Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, andaian pihak tertentu yang mengaitkan pengguguran namanya atas faktor prestasi adalah tidak benar, selain dibuat tanpa meneliti keadaan sebenar dirinya.

Katanya, beliau terpaksa mengambil cuti sakit sepanjang tiga bulan lalu kerana baru selesai menjalani pembedahan kedua belah lutut yang menyebabkan pergerakannya terbatas.

“Bagaimanapun saya masih boleh hadir program kementerian dan mewakili menteri menjawab soalan di Dewan Rakyat, cuma untuk bergerak jauh apa lagi turun ke kawasan memang sukar.

“Memang dari awal saya tidak dimaklumkan mengenai pengguguran jawatan sebagai timbalan Menteri, namun ia adalah hak Perdana Menteri yang melantik.

“Kita perlu profesional dan terbuka menerima keadaan ini,” katanya.

Berikutan perkembangan terbaru itu, katanya beliau kini dapat lebih fokus di kawasan, khususnya di Parlimen Beaufort yang sebelum ini diakuinya agak terhad disebabkan kekangan tugas di Kementerian Peladangan dan Komoditi.

Sementara itu, Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pengguguran Aminah sebagai Timbalan Menteri bukan bermakna Umno Sabah dipinggirkan.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Kinabatangan itu mendedahkan, beliau juga ditawarkan untuk menyertai barisan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, namun menolaknya kerana mahu memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Baca juga: