4 suspek diberkas bantu kes mayat wanita maut ditetak

Mayat Wanita warga Filipina ditemui di ladang kelapa sawit dengan kesan tetakan pada anggota badan di Kampung Ulu Bambangan, Membakut, Sabah pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Ismail Abdullah, mangsa berusia lingkungan 30-an itu ditemui kira-kira pada pukul 11.30 pagi dalam keadaan tangan kanan hamper putus, kesan kelar pada leher dan luka di bahagian dahi kanan.

“Mangsa dipercayai hilang ketika turun bekerja di ladang sawit, dan ditemui oleh suaminya sendiri selepas seluar hitam milik mangsa ditemui di kawasan kebun kelapa sawit.

“Ahli keluarga berusaha mencari mangsa di sekitar penemuan seluar mangsa dan akhirnya berjaya menemui mayat mangsa di belukar berhampiran dengan kesan kecederaan tetakan di beberapa bahagian badan,” katanya lapor Sinar Harian.

Susulan kejadian itu pemeriksaan dan siasatan segera dilakukan oleh Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah terhadap mayat di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan berjaya membuat tangkapan terhadap tiga lelaki dan seorang wanita warga Filipina berusia lingkungan 30 hingga 40-an bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut,” katanya.

Tambah beliau lagi, dengan tertangkapnya empat suspek tersebut siasatan diteruskan bagi mengesan suspek lain.

Empat suspek akan ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Usaha mengesan suspek lain masih giat dijalankan dengan bantuan Unit Siasatan Khas D9, Unit Anjing Pengesan K9 dan Unit Forensik JSJ IPK Sabah.

Baca juga: