PU Azman diarah bela diri terkait kes amang seksual

Mahkamah Sesyen Klang pada Selasa memerintahkan pendakwah selebriti Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman membela diri atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, tahun lepas.

Hakim Syafeera Mohd Said membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap terhadap Azman Syah, 42.

“Setelah mendengar dan meneliti saksi pendakwaan dan semua bukti dan serta meneliti hujahan pendakwaan, mahkamah memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap OKT (Orang Kena Tuduh) atas tuduhan pertama dan tuduhan kedua. Oleh yang demikian OKT diarah untuk membela diri,” katanya memetik Bernama.

Ketika keputusan dibacakan, Azman Syah yang berada di dalam kandang tertuduh kelihatan tenang dan setelah Syafeera menerangkan pilihan yang diberikan, dia memilih untuk meneruskan perbicaraan dengan memberi keterangan secara bersumpah.

“Yang Arif, saya memilih keterangan bersumpah dari kandang saksi,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Azman Syah didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berumur 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, Klang masing-masing pada pukul 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Feb serta 29 Jun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 12 Januari depan.

Seramai tujuh saksi memberi keterangan pada perbicaraan bermula 5 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ayuni Jamri dan Nurul Izzati Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad.

Turut hadir peguam Jabatan Bantuan Guaman Selangor Norhayati Johar selaku pendamping guaman bagi mangsa.

Azman Syah turut menghadapi sembilan lagi pertuduhan berkaitan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat