Benteng projek PLSB pecah ekoran paras air Sungai Golok naik mendadak

Benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Lanchang, Kelantan pecah ekoran berlaku arus deras pada pagi Selasa.

Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah, berkata, benteng dengan kelebaran 20 meter itu pecah sekali gus menyebabkan paras air Sungai Golok meningkat dengan mendadak.

“Kita mendapat maklumat benteng projek PLSB itu pecah pagi Selasa akibat peningkatan paras air Sungai Golok yang tinggi.

“Benteng berkenaan hanya ketinggian 10 meter (m) lebih, manakala air Sungai Golok semalam mencecah 11.03 m.” katanya kepada Berita Harian.

Tangkap layar daripada rakaman tular benteng PLSB yang pecah.

Sementara itu, satu rakaman tular di media sosial memaparkan keadaan benteng Kampung Lanchang pecah dan mengakibatkan air sungai mengalir deras.

“Pada masa sama arus begitu deras yang menyebabkan benteng berdekatan Kampung Lanchang pecah. Setakat ini, kita hanya melihat benteng itu menerusi video yang tular dan pegawai belum dapat ke lokasi memandangkan arus masih deras,” katanya.

Sebelum ini, paras air Sungai Golok berada pada tahap tertinggi dalam tempoh sembilan tahun dengan bacaan 11.03 m.

Untuk info, paras air Sungai Golok setakat ini paling tinggi pernah direkodkan ialah 10.84 m pada 2014.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat