Penutup beberapa jalan di daerah Melaka Tengah dijadualkan bermula pada 29 Disember hingga 1 Januari bagi melancarkan aktiviti sambutan Ambang Tahun Baru dan Pelancaran Tahun Melawat Melaka.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, berkata, jalan yang ditutup antaranya Jalan Tun Mutahir, bermula dari simpang bangunan Maybank dan Jalan Hang Tuah hingga ke kawasan lampu isyarat Pengkalan Rama.
“Lampu isyarat di Jalan Tun Ali masih lagi boleh digunakan dan aliran trafik hanya menghala ke Jalan Tun Mamat, Jalan Graha Maju dan jambatan ke Persisiran Bunga Raya (The Shore),” katanya pada Khamis.
Christopher turut menyarankan pengunjung yang datang meletakkan kenderaan di lapan kawasan parkir bagi mengelakkan kesesakan.
Tambahnya, orang ramai yang ingin mengunjungi ke program tersebut boleh menaiki bas percuma yang tersedia di Jalan Lagenda tanpa perlu berjalan jauh hingga ke kawasan program.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menggunakan jalan alternatif yang disediakan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Sepanjang program berlangsung, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menggerakkan seramai 207 orang anggota polis untuk mengawal keadaan,” ujar beliau.
Untuk rekod terdapat beberapa kawasan pakir kereta yang disediakan antaranya, di Medan Selera Tun Ali, sepanjang Jalan Graha Maju, sepanjang Jalan Tun Mamat, Kompleks Pusat Transformasi Bandar (UTC), Masjid Fathur Rahman Pengkalan Rama, Jalan Lagenda, Pasar Raya Aeon Mall dan Pasar Raya Lotus.
Baca juga: