Penahanan seorang lelaki yang juga merupakan kekasih kepada wanita yang hilang di Taman Soga, Batu Pahat, Johor tidak memberikan sebarang petunjuk.
Lelaki terbabit yang ditahan reman pada 25 Disember lalu, berusia 24 tahun dan bekerja di syarikat kurier dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan remannya berakhir pada Sabtu.
Menurut, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengesahkan lelaki berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis, namun siasatan akan terus dijalankan.
Katanya, pembebasan ini adalah perkara biasa dalam siasatan dan pihaknya tidak akan berhenti untuk mencari apakah punca sebenarnya yang berlaku kepada Mira Sharmila Samsusah, 34, itu.
“Selain soal siasat ke atas individu yang disyaki terlibat dengan kehilangan Mira atau lebih dikenali sebagai Bella itu, kami juga menggunakan kaedah-kaedah lain untuk mencari puncanya.
“Siasatan akan terus berjalan untuk mencari punca sebenar kehilangan ibu tunggal beranak dua itu,” katanya menurut Kosmo Online.
Menurut Ismail lagi, lelaki berkenaan dibebaskan lewat petang semalam selepas siasatan terhadapnya sebagai orang terakhir bersama Bella selesai.
Sementara itu, keluarga Bella terus mengharapkan anak bongsu daripada dua beradik itu berjaya ditemui walaupun sudah memasuki hari ke 16 kehilangannya hari ini.
Baca juga: