Tragedi malam tahun baharu, pelajar maut tercampak motosikal

Keterujaan menyambut tahun baharu dua sahabat bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut setelah terlibat dalam kemalangan Jalan Tun Abdul Razak, Melaka pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, kemalangan yang berlaku pada kira-kira 4.40 pagi apabila motosikal dinaiki Mohamad Farhan Hakimi Mohd Rasidi, 19, bergesel dengan motosikal rakannya yang berusia 17 tahun.

“Mohamad Farhan merupakan seorang pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mushi Abdullah dan rakannya pula pelajar Tingkatan 5 di SMK Ayer Keroh.

“Kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Muzaffar Shah, seorang maut dari kemalangan dan seorang lagi tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian, siasatan mendapati mangsa menunggang dari arah sama iaitu dari jejambat Kota Cemerlang menuju ke lampu isyarat Taman Muzaffar Shah dengan Mohamad Farhan Hakimi berada di hadapan lorong sebelah kiri.

Kemalangan berlaku apabila Mohamad Farhan Hakimi tiba-tiba menukar haluan ke lorong kanan ketika cuba dipintas rakannya menyebabkan motosikal mereka bergesel hingga dia terbabas lalu tercampak jatuh di atas jalan dan maut di tempat kejadian

Siasatan lanjut kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengetahui punca kemalangan dan mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Tiada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV), jadi pihak polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat