Negeri

3 ahli PAS maut kemalangan di Lebuh Raya Plus

Niat tiga anggota Dewan Muslimat PAS membantu sebuah kenderaan yang mengalami masalah di Kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dekat Behrang, bertukar tragedi apabila kesemua mereka meninggal dunia.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang, Khamis melibatkan Ketua Ameerah PAS Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23, Ketua Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dan  Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27.

Fatihah Nabila dan Taibah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Nurul Najihah menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Slim River.

Menurut Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, polis menerima maklumat kemalangan membabitkan empat kenderaan dan dua motosikal pukul 2.30 petang.

Katanya, berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun dari Kuala Lumpur menghala ke Kedah, hilang kawalan lalu berpusing dan terbalik di longkang kiri jalan.

“Kemudian, tiga wanita yang juga ahli Dewan Muslimat PAS Kawasan Sungai Petani yang menaiki kereta jenis Toyota Fortuner berhenti di lorong kecemasan untuk memberikan bantuan kepada pemandu Mitsubishi Triton itu.

“Turut berhenti di laluan kecemasan berkenaan adalah motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang seorang lelaki berusia 42 tahun; motosikal Honda EX5 (ditunggang lelaki berusia 46 tahun) dan kereta Perodua Myvi (dipandu lelaki berusia 31 tahun) bagi menghulurkan bantuan.

“Kira-kira lima minit kemudian, sebuah kereta jenis Toyota Altis dipandu lelaki berusia 30 tahun dari arah yang sama di lorong kanan, tiba-tiba hilang kawalan lalu terlanggar tiga wanita dan tiga lelaki tadi hingga kesemua mangsa terhumban ke dalam longkang di kiri jalan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, mangsa lain mengalami cedera ringan selain kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close