Kejadian pengeboman di Kerman Cemetry, bandar Kerman, Iran turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia sekiranya ada warga tempatan turut menjadi mangsa korban.
Bagaimanapun, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra), tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terkesan dalam tragedi berdarah itu pada Rabu.
Dianggarkan lebih 100 mangsa dan beratus lagi individu tercedera dalam kejadian itu.
“”Rakyat Malaysia di Iran, khususnya yang berada di bandar Kerman dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan semasa, mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mematuhi nasihat perjalanan oleh pihak berkuasa tempatan,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, kedutaan Malaysia di Tehran juga akan membuat pemantauan terhadap perkembangan semasa bagi mendapatkan maklumat terkini.
Pada masa sama, Wisma Putra turut bertegas bahawa Malaysia mengecam sekeras-kerasnya aski pengeboman itu dan menolak sebarang tindakan ganas termasuk aktiviti keganasan.
Bahkan, kerajaan juga minta agar tindakan tegas segera diambil supaya mereka yang terlibat segera dibawa ke muka pengadilan.
“Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi ini serta kepada kerajaan dan rakyat Iran.
“Malaysia turut mendoakan mereka yang cedera cepat sembuh,” ujar dalam kenyataan itu.
Kedutaan Malaysia di Tehran boleh dihubungi di No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St, Shahrak-e-Gharb atau telefon (+98 21 880724444 atau +98 21 88078606) dan menerusi e-mel di mwtehran@kln.gov.my atau mwconsular.teh@gmail.com.
Baca juga: