Warga emas maut ditikam, jiran terdengar suara minta tolong

Jiran kepada seorang warga emas yang ditemui maut bersama kesan tikaman di sebuah rumah di Kampung Pasir, Seremban pada pagi Khamis maklum terdengar lolongan meminta tolong di rumah terbabit.

Jiran berusia 35 tahun itu mendakwa bahawa bapanya terdengar jeritan berkenaan tetapi tidak berani memeriksa rumah berkenaan kerana waktu sudah tengah malam, selain mengalami masalah kabur penglihatan.

“Selepas saya balik dari kerja, pagi semalam, bapa menceritakan perkara itu. Saya kemudian pergi ke rumah lelaki itu untuk bertanya khabar dan melihat keadaannya.

“Bagaimanapun, sebaik saja membuka pintu, saya ternampak lelaki itu berada dalam keadaan terbaring dan terdapat darah pada bahagian kakinya.

“Saya memeriksa sama ada dia masih bernafas, sebelum ke balai polis untuk membuat laporan,” dakwanya memetik laporan Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dua suspek direman selama tujuh hari bermula Jumaat hingga 11 Januari bagi membantu siasatan.

“Masih terlalu awal untuk mengetahui motif kejadian. Kami akan jalankan soal siasat terhadap kedua-dua suspek,” katanya dalam suatu keterangan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki warga emas ditemui maut dengan kesan tikaman pada bahagian badan dan kaki di sebuah rumah dekat Kampung Pasir, pada Khamis.

Susulan kejadian pada pukul 10 pagi itu, dua lelaki yang juga adik-beradik berusia 18 dan 25 tahun ditahan pada petang Khamis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Baca juga: