Pemandu lori maut langgar jengkaut di tapak pembinaan

Seorang pemandu lori maut selepas melanggar jengkaut di sebuah tapak pembinaan di Jalan Aeroangkasa 3, Petaling Jaya, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid, berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 9.13 pagi, membabitkan pemandu warga asing berusia 39 tahun.

Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa sedang melakukan kerja mengambil tanah di tapak pembinaan berkenaan.

“Bagaimanapun, tayar lori dipandunya terbenam dalam selut, sebelum rakan sekerjanya datang membantu dengan membawa jengkaut.

“Ketika proses untuk mengeluarkan tayar, mangsa dikatakan menekan pedal minyak yang menyebabkan lorinya meluncur ke hadapan dan melanggar jengkaut berkenaan,” katanya kepada Kosmo dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan daripada Hospital Sungai Buloh (HSB).

Individu yang mempunyai maklumat atau berada di lokasi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Wan Ahmad Izhanzaki di talian 014-5296880 atau tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat