59 PATI mengaku salah masuk Malaysia secara haram dan tinggal lebih masa

Seramai 58 warga Indonesia dan seorang lelaki Nepal mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki negara ini secara haram dan tinggal lebih masa di Mahkamah Majistret di Teluk Intan, Perak.

Mereka yang ditahan di kebun sawit tepi Jalan Pasir Kampung Sungai Tiang Baroh pada 28 Disember lalu membuat pengakuan selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Pesalah terdiri daripada 40 orang lelaki dan 19 wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 64 tahun itu disabit kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mereka dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta sebatan tidak lebih enam sebatan.

Berdasarkan pertuduhan, 33 orang warga Indonesia dan seorang warga Nepal disyaki masuk ke Malaysia tanpa permit yang sah.

Sementara itu, 26 lagi warga Indonesia dituduh tinggal di negara ini setelah tenpoh sah lawatan sudah tamat.

Tiada jaminan ditawarkan oleh semua warga asing yang tidak diwakili peguam tersebut ketika pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi jatuh hukum.

Sebelum ini, kesemua warga asing itu ditangkap setelah pihak polis mendapat aduan dari orang awam yang melihat bot dalam keadaan mencurigakan tersadai di pesisir pantai di lokasi sama pada 3.45 pagi.

Siasatan polis mendapati bot terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia namun tersadai akibat kerosakan enjin.

Baca juga: