Penggunaan dana sebanyak RM700 juta untuk tujuan promosi dan publisiti mengakibatkan empat individu termasuk bekas Perdana Menteri dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan mengenai proses dan tatacara perbelanjaan kerajaan antara tempoh 2020 hingga 2022.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ,berkata, kesemua individu tersebut akan akan dipanggil selewat-lewatnya pada minggu depan.
“Kita akan panggil mereka minggu ini, atau paling lewat pun minggu depan. Tapi as for now, only one (tapi setakat ini, hanya satu).
“Kita akan panggil Perdana Menteri, mantan dan pegawai-pegawai beliau,” katanya pada Isnin.
Beliau mengulas lanjut, siasatan pada ketika ini tertumpu kepada bagaimana dana itu dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti mengenai hebahan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.
“Apa yang penting, kita nak tengok bagaimana duit tersebut dibelanjakan. Bukan kepada bagaimana dana tersebut diputuskan atau diluluskan, tetapi siasatan berkaitan bagaimana wang tersebut dibelanjakan dan syarikat-syarikat yang dapat,” katanya lapor Awani.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan Persekutuan membelanjakan sehingga RM700 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2022.
Perbelanjaan berkenaan digunakan dua pentadbiran terdahulu dalam menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan.
Terdahulu, SPRM melaporkan pihaknya membuka kertas siasatan mengenai perbelanjaan itu, malah akan memanggil bekas pemimpin tertinggi kerajaan berhubung siasatan itu.
Baru-baru ini polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana RM700 juta oleh dua kerajaan terdahulu untuk iklan dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum itu menulis di catatan media sosial X, berhubung perbelanjaan itu dan berkata, rakyat berhak tahu bagaimana RM700 juta bagi iklan dan publisiti dibelanjakan oleh dua kerajaan terdahulu.
Baca juga: