Warga emas edar dadah 2.3 kg, ditahan polis

Warga emas ditahan bersama dadah jenis heroin seberat kira-kira 2.3 kilogram dianggarkan bernilai RM25,000 di tepi jalan Anggerik Utama, Taman Anggerik Height, Bentong, 5 Januari lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 63 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang pada pukul 5 pagi.

Menurutnya ketika ditahan, suspek sedang memegang beg plastik dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan di dalam beg plastik itu menemukan lima bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan dan serbuk dadah jenis heroin.

“Hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan kini ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah mulai 6 hingga 12 Januari ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) Pahang pada Rabu.

Bagaimanapun, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati bekalan dadah diperolehi dari Selangor untuk diedarkan di kawasan Felda dan sekitar Bentong.

“Dengan penahanan suspek, polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di kawasan Felda dan sekitar Bentong yang didalangi warga tempatan,” ujarnya.

Menurutnya, usaha berterusan akan dilaksanakan untuk membasmi masalah penyalahgunaan dadah di Pahang dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Kontinjen Pahang (CCC) di talian 09-5051999.

Baca juga: