TVET perlu tingkat usaha galak golongan belia jadi penuai sawit profesional

Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu diperkukuh bagi melahirkan penuai sawit profesional yang perlu diwujudkan untuk menangani isu kekurangan pekerja dalam bidang berkenaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata, isu kekurangan penuai di ladang sawit sangat serius dan mengakibatkan industri menanggung kerugian berbilion ringgit akibat buah kelapa sawit tidak dapat dituai.

Ujarnya, dengan adanya penuai tempatan juga akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing untuk kerja penuaian di ladang sawit.

“Masalah industri (sawit) ialah kekurangan pekerja terutama penuai. Bila tidak cukup pekerja, buah sawit tidak dapat dituai dan ini merugikan. Keadaan itu yang dihadapi ketika pandemik COVID-19 melanda.

“Latih anak muda menerusi TVET dengan menjadikan penuaian sebagai kerjaya,” katanya selepas menyampaikan ucapan perasmian Seminar Pandangan dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2024 Kuala Lumpur pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli dan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Datuk Seri Johari berkata, beliau telah menyuarakan perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meninjau mengadakan TVET dengan permulaan membabitkan kumpulan kecil antara 40 hingga 50 orang.

Dengan adanya kumpulan kecil itu, mereka boleh dilatih oleh pakar industri untuk kerja penuaian.

Lapor Berita Harian, dengan ladang sawit di negara ini seluas 5.6 juta hektar, sudah pasti dapat menawarkan peluang pekerjaan penuaian yang besar dan menawarkan kadar upah yang lebih tinggi sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan bagi menarik minat anak muda untuk menceburi kerjaya sebagai penuai kelapa sawit.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat