PDRM tidak berkompromi jika ada anggota terlibat aktiviti jenayah

Keperibadian yang lemah adalah antara punca segelintir anggota dan pegawai terpalit dengan aktiviti jenayah sehingga menjejaskan kredibiliti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Media sebelum ini melaporkan mengenai enam anggota polis ditahan ekoran terbabit dalam kegiatan memproses dan mengedar air ketum pada minggu lalu.

Mengulas lanjut, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sifat tamak dan gilakan kemewahan menjadi punca sebahagian warga PDRM terjebak dengan aktiviti tidak sepatutnya.

Bagaimanapun menurutnya, hanya kumpulan kecil saja yang mengalami masalah integriti.

Malah, lebih 90 peratus daripada lebih 10,000 anggota dan pegawai yang bertugas di Kuala Lumpur tetap menjalankan tugas dengan dedikasi.

“Saya tak setuju jika dikatakan ramai anggota polis terbabit salah laku, 10 anggota yang melakukan kesalahan berbanding 10,000 yang berada di Kuala Lumpur, angka itu menunjukkan kurang daripada satu peratus yang bermasalah.

“Penyeliaan anggota turut memainkan peranan tetapi punca utamanya (salah laku) ialah kelemahan peribadi, ingin hidup mewah dan tamak. Ini perkara yang kita sedang tangani.

“Mereka yang terbabit perlu dilepaskan daripada pasukan ini dan masyarakat pula perlu menghargai baki mereka yang bekerja keras menjaga keharmonian masyarakat,” katanya pada sidang media Program Walkabout Ketua Polis Kuala Lumpur, pada Ahad.

Enam anggota dari sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di ibu negara yang terlibat dikatakan sudah ditahan kerja sementara siasatan dilengkapkan.

“Empat daripada mereka sudah ditahan kerja, kita sedang tunggu laporan kimia, jika positif (dadah) kita akan hantar kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk pertuduhan,” katanya lapor Harian Metro.

Dalam perkembangan berasingan, Allaudeen memaklumkan kes empat anggota yang disyaki melakukan pemerasan di hadapan pangsapuri di Kepong, 4 Januari lalu juga turut diambil tindakan tahan kerja.

Media sebelum ini melaporkan, pihak polis tidak akan berkompromi dengan salah laku anggota dan siasatan akan dilakukan sehingga selesai.

Baca juga: