Aksi tembak menembak macam dalam filem

Insiden tembak penembak antara penjenayah dengan polis di Persiaran Prima Utama 3, Puchong Permai pada Ahad menggemparkan penduduk setempat dan pengguna media sosial.

Menurut saksi yang enggan dikenali memberitahu, dia melihat terdapat beberapa buah kenderaan mengejar kereta yang dipercayai dinaiki oleh suspek di lokasi kira-kira 4 petang pada Ahad.

Katanya, dia kemudian melihat suspek melepaskan tembakan ke arah anggota polis sebelum kejadian berbalas tembakan terjadi.

“Beberapa minit kemudian, berlaku adegan tembak menembak selepas polis berjaya mengepung dan menahan kereta suspek.

“Saya nampak lelaki (suspek) dalam kereta itu yang melepaskan tembakan terlebih dahulu.

“Dalam masa beberapa minit juga, pihak polis dilihat berjaya mengawal situasi di lokasi kejadian,” katanya.

Selain itu, wanita warga emas yang juga merupakan penduduk setempat memberitahu, dia tidak menyangka berlaku kejadian berbalas tembakan.

“Saya terdengar satu letupan dan menyangka ia mercun dimainkan oleh anak-anak di kawasan ini ketika bermain di luar rumah.

“Namun, saya lihat anggota polis berpakaian biasa meniarap di jalan raya sambil melepaskan tembakan ke arah kereta terbabit.

“Kejadian tembak menembak yang berlaku itu macam dalam perang, sangat menakutkan,” katanya lapor Harian Metro ketika mengulas mengenai kejadian yang dilihat seperti babak dalam filem itu.

Media sebelum ini melaporkan seorang penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian itu mempunyai 13 rekod jenayah termasuk enam kes dadah dan satu rekod dikehendaki polis.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat