Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh 26 Mac depanbagi pendengaran rayuan Datin Seri Rosmah Mansor mencabar pelantikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah dihadapinya.
Kata peguam bela Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader, justeru tarikh baharu prosiding rayuan anak guamnya untuk mengetepikan sabitan kes rasuah, hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta, masih tidak ditetapkan di Mahkamah Rayuan kerana pendengaran di Mahkamah Persekutuan belum dilupuskan.
“Sebutan kes itu di Mahkamah Rayuan, hari ini, dijadualkan semula pada 8 Februari depan. Hanya ada sebutan kes dan tiada tarikh pendengaran di Mahkamah Rayuan ditetapkan, setakat ini.
“Perlu dengar rayuan di Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu sebelum ditetapkan sebarang tarikh pendengaran di Mahkamah Rayuan,” katanya.
Pada 7 Julai tahun lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy, membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan prosiding rayuan.
Keputusan itu dibuat selepas seorang lagi peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh, memaklumkan permohonan berkenaan dibuat dengan niat baik tanpa melengahkan prosiding rayuan terbabit, selain menegaskan rayuan di Mahkamah Persekutuan perlu dilupuskan terlebih dahulu.
Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai, dilapor mengesahkan tiada menerima sebarang arahan untuk membantah permohonan terbabit.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan empat hari bermula 11 Julai tahun lalu untuk mendengar rayuan berkenaan.
Pada 22 Jun 2023, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah bagi kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Sri Ram yang didakwa tidak sah dan seterusnya menjadikan perbicaraan kesnya turut terbatal.
Pada 1 September 2022, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohamed Zaini Mazlan, mendapati Rosmah, 73, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.
Namun, Rosmah hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, selain didenda RM970 juta atau penjara 10 tahun lapor Berita Harian.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan.
Baca juga: