Remaja hilang minta bantuan gelandangan bawa ke balai polis

Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman di Taman Bernam Jaya, Hulu Selangor sejak 1 Januari lalu selamat ditemui pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, remaja berusia 15 tahun itu dibawa oleh seorang lelaki ke Balai Polis Hulu Bernam pada pukul 10.48 pagi.

“Siasatan mendapati remaja itu dipercayai telah tinggal dengan seorang warga tempatan di sebuah hotel di Jalan Petaling, Kuala Lumpur selama sembilan hari sebelum melarikan diri.

“Remaja itu kemudian tinggal seorang diri di hotel terbiar berhampiran Pasar Seni, Kuala Lumpur selama enam hari,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, remaja berkenaan kemudian meminta bantuan daripada seorang lelaki yang juga gelandangan berusia 28 tahun pada 15 Januari sebelum menghantarnya ke Balai Polis Hulu Bernam.

“Semakan mendapati remaja itu ialah salah seorang individu yang dilaporkan hilang bersangkut Ulu Bernam Repot 6/2024.

“Polis Hulu Selangor masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti keadaan remaja terbabit.

“Sebarang maklumat dari orang awam mengenai penemuan remaja ini sangat dialukan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang daripada dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang pada 1 Januari lalu mendakwa dikurung dalam sebuah motel di Jalan Petaling, Kuala Lumpur oleh individu tidak dikenali.

Malah, remaja berusia 16 tahun yang berjaya melarikan diri itu mendakwa selama dikurung bersama adiknya selain diperlakukan tidak baik sebelum dipisahkan pada 9 Januari lalu.

Baca juga: