Suria FM tidak ‘buang’ Tyzo

Pengerusi Star Media Group (SMRG) merangkap Ahli Lembaga Pengarah Star Media Group Bhd, Datuk Dr. Mohd Aminuddin Mohd Rouse menyatakan bahawa tiada penganiayaan dilakukan terhadap bekas penyampai Suria FM, Tyzo Xander.

“Dakwaan mengenai Tyzo tidak mengetahui mengenai kontraknya sudah tamat itu tidak benar sama sekali.

“Pada tahun lalu, kontrak Tyzo yang bakal tamat pada Oktober itu diperbaharui namun hanya untuk tempoh enam bulan sahaja, seperti yang diingini oleh Tyzo,” katanya ketika Sidang Media Suria FM di Cybertorium, Menara Star pada Jumaat.

Mohd Aminuddin turut menyatakan bahawa kontrak Tyzo yang sepatutnya tamat pada Mac tahun ini.

“Kami masih memberikan gaji kepada Tyzo sehingga kontraknya tamat meskipun beliau tidak lagi menjadi penyampai radio di sini.

“Tyzo juga mengetahui bahawa hari kejadian merupakan hari terakhir beliau akan bersiaran, namun kami tidak menyangka beliau akan berkata sedemikian secara langsung,” tambahnya.

Mohd Aminuddin turut berkata, dirinya bertanggungjawab penuh atas arahan hari terakhir Tyzo bersiaran, dan meminta orang ramai untuk tidak menyalahkan Pegurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin mengenai insiden video yang tular itu.

“Saya yang memberi arahan kepada Tyzo untuk bersiaran pada kali terakhir pada hari kejadian, namun disebabkan DJ Lin berada dalam video tersebut membuatkan dirinya terpalit dalam isu ini,” ujarnya.

Mohd Aminuddin turut meminta warganet untuk tidak sewenang-wenangnya membuat spekulasi dari video tular yang bersifat berat sebelah itu.

“Saya meminta orang ramai untuk tidak menghukum tanpa mengetahui cerita dua belah pihak.

Difahamkan bahawa khidmat Tyzo diberhentikan walaupun kontraknya masih berjalan adalah kerana pihak Suria FM mahu memperkenalkan penyampai yang terbaharu.

Pihak Suria FM juga ingin memulakan program yang terbaharu khususnya pada bulan Ramadan, maka dengan adanya Tyzo yang bakal tamat kontrak pada bulan 9 Mac dilihat seperti tidak selari dengan susun atur penyampaian radio nanti.

“Kami mahu memulakan slot baharu khususnya pada bulan Ramadan nanti, sekiranya Tyzo kekal on-air sehingga kini ia seperti tidak teratur kerana beliau akan tamat berkhidmat sebelum bulan Ramadan,” tambahnya.

Sebelum ini, Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zulkarnain Idris mendakwa wujud penganiayaan sehingga menyebabkan dia meninggalkan stesen radio itu minggu lalu. 

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat