Misteri kehilangan Bella terus jadi tanda tanya

Misteri kehilangan ibu tunggal, Mira Sharmila Samsusah, 32, memasuki fasa baharu apabila dikaitkan dengan penemuan rangka manusia di sebuah rumah terbiar di Lorong Iman Jailani, Kampung Batu 7, Tongkah Pecah, Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rangka manusia itu ditemui pada pukul 2 petang Jumaat selepas dipandu salah seorang suspek.

Katanya, sebelum ini tiga suspek berkaitan kes kehilangan Bella atau Mira Sharmila Samsusah, 36 telah ditahan sebelum salah seorang daripadanya menunjukkan lokasi penemuan rangka manusia ini.

Pada Ahad, Polis Johor dilaporkan akan membuat permohonan kepada Jabatan Kimia agar mempercepatkan keputusan proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas sampel rangka manusia yang ditemui itu dan keputusan sampel DNA itu akan diperolehi sekurang-kurangnya dalam minggu ini.

Pada 25 Disember lalu, polis menahan reman teman lelaki Mira Sharmila sebelum dibebaskan lima hari kemudian dengan jaminan polis.

Pada 14 Disember tahun lalu, ibu tunggal dua anak itu gagal dihubungi selepas hilang keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada jam 11.50 malam, dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap, untuk mencuci pakaian di kedai dobi.

Bagaimanapun, selepas tarikh itu dan sehingga kini, kelibat wanita terbabit terus hilang dengan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sebaiknya rangka tersebut disempurnakan dan kekebumikan mengikut prosidur seperti mayat sebenar.

“Sekiranya rangka itu milik individu beragama Islam, maka perlu disempurnakan mengikut agama sewajarnya.

“Penyempurnaan perlu dibuat sama seperti jenazah yang lengkap dan perlu dimandikan serta diuruskan sehingga dikebumikan,” katanya pada Isnin memetik laporan Sinar Harian.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat