Perlu menjalani rawatan psikiatri, Mamat mengaku tidak bersalah dakwaan kes dadah

Penyanyi yang juga bekas vokalis Exists, Mamat diminta untuk menjalani rawatan psikiatri di Hospital Psikiatri Permai, Johor Bahru bermula Selasa.

Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamaruddin, 46, juga mengucapakan terima kasih kepada peminat yang mendokana kesejahteraannya.

“Alhamdulillah, sekarang ini saya sedang hadapi kes 39C (Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952). Selain itu, saya juga perlu dihantar ke Pusat Psikiatri untuk mendapatkan rawatan lanjut bermula hari ini.

“Semoga semua peminat dapat beri sokongan yang lebih baik untuk saya agar boelh teruskan aktiviti seni selepas ini, terima kasih,” katanya sebaiknya sahaja meninggalkan kamar Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa.

Dalam pada itu, Mamat juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada 2019.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Fatimah Zahari dan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, Mamat didakwa mengambil dadah jenis Methamphetamine, kira-kira pukul 2 pagi pada 9 September 2019, di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Utara.

Mamat turut mempunyai kesalhan berulang mengambil dadah pada 2016 dan 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39C(1)(b) akta sama.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Mamat didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.17 gram pada pukul 11.35 malam di Taman Perling pada 8 September 2019.

Pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqillah Ahmad Rofaei, dan Mamat diwakili peguam bela sama.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen, peguam bela memohon anak guamnya dirujuk bagi mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Fatimah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh 22 Februari depan untuk sebutan semula kes termasuk laporan perubatan.

Baca juga: