Kutipan filem Anak Perjanjian Syaitan 2 catat lebih RM2 juta

Filem seram tempatan, Anak Perjanjian Syaitan 2 (APS2) yang berada di minggu ketiga tayangannya berjaya mencatat kutipan sebanyak RM2.8 juta.

Pengarah filem tersebut, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 52, berkata kutipan tersebut dijangka boleh mencapai RM3 juta berpandukan graf kutipan yang menunjukkan kenaikan secara positif.

“Kutipan sudah mencecah RM2.8 juta setakat hari Isnin, dan saya percaya kutipan lebih tinggi dapat direkodkan untuk minggu keempat.

“Perbandingan trend pada minggu kedua dan ketiga tidaklah terlalu ketara jadi sekiranya semua berjalan dengan lancar, ia mampu mencecah kutipan sebanyak RM3 juta,” katanya.

Ahmad Idham turut berkata berkemungkinan filem tersebut mendapat sambutan sehingga minggu ketiga berpunca daripada kuasa mulut ke mulut oleh penonton filem tersebut.

Beliau turut membuat jangkaan bahawa tayangan APS2 boleh dilanjutkan sehingga enam minggu di pawagam, bergantung kepada pawagam yang menayangkannya memandangkan tidak semua pawagam mempunyai panggung yang banyak.

Beliau juga yakin filem tersebut akan diambil platform penstriman selepas tayangannya habis di pawagam.

Untuk info, filem terbitan Grand Brilliance Studios ini sudah ditayangkan di pawagam sejak 4 Januari lalu.

Filem ini dibintangi oleh Eyka Farhana, Alif Satar, Fasha Sandha, Azlan Komeng, Dian P Ramlee, Azizah Mahzan dan Shaharuddin Thamby. 

Baca juga: