Seorang wanita warga Myanmar terjatuh setinggi kira-kira 10 meter dari tingkat dua bangunan rumah kedai ketika premis itu diserbu pihak berkuasa di Seremban 2, Negeri Sembilan malam Selasa.
Kejadian berlaku ketika wanita berkenaan dikatakan cuba mengelak serbuan sempena Ops Bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen di kawasan berkenaan bermula pukul 11 malam.
Melihat keadaan wanita itu yang tidak bergerak, pegawai Imigresen segera memanggil Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu.
Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang, mengesahkan kejadian membabitkan wanita warga Myanmar berusia 35 tahun itu.
“Wanita terbabit cedera pada bahagian kepala selepas terjun dari tingkat dua melalui tingkap sebelum diberikan rawatan awal oleh APM. Keadaannya stabil,” katanya.
Selain kejadian membabitkan wanita itu, beberapa aksi cemas lain turut dikesan sepanjang operasi termasuk tindakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memanjat bumbung, selain menyelinap ke unit lain melalui balkoni.
Bagaimanapun, usaha mereka gagal selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan di lima blok bangunan tiga tingkat yang menemukan warga asing menyorok sama ada di balkoni, atas siling dan juga di atas bumbung.
Kennith berkata, sejumlah 628 warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan dengan 110 daripada mereka melanggar pelbagai peraturan imigresen.
“Operasi tertumpu di rumah kedai tiga tingkat yang mana unit atasnya dijadikan asrama atau kediaman pekerja asing. Seramai 628 diperiksa sebelum kami menahan 110 daripada mereka,” ujarnya lagi ketika sidang media operasi.
Beliau berkata, antara ditahan adalah 64 warga, 13 warga Indonesia, 10 warga Bangladesh, sembilan warga Pakistan, masing-masing enam dari India dan Sri Lanka serta dua warga Nepal.
“Mereka melakukan kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa, dengan warga tempatan juga dikesan membenarkan PATI tinggal di kediaman mereka,” katanya
Lapor Berita Harian, premis ini dijadikan asrama dengan setiap unit diasing menggunakan penghadang antara lima hingga enam bilik.
Baca juga: