Mangsa banjir di Kota Tinggi meningkat

Jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi semakin meningkat menjadi 261 orang terdiri daripada 56 keluarga berbanding 183 orang daripada 40 keluarga.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) baharu juga dibuka di daerah itu menjadikan kini terdapat tiga PPS yang sudah beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir.

“PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas dibuka pada pukul 11.30 malam Khamis dan kini menempatkan 52 orang daripada lapan keluarga yang juga penduduk Kampung Baru Sungai Mas yang terjejas akibat banjir,” katanya menerusi kenyataan, pada Jumaat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Air Tawar 1 kini menempatkan 158 mangsa, manakala PPS SK Bukit Lintang dengan 51 mangsa.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pula mengeluarkan amaran ribut petir di Segamat, Kluang dan Mersing yang berlaku sehingga pukul 9 pagi pada Jumaat.

Laporan daripada Berita Harian, semua daerah di negeri ini dilaporkan cerah, kecuali Johor Bahru, Kluang dan Kota Tinggi yang dilaporkan mendung.

Baca juga: