Hakisan tebing sungai yang berlaku hanya beberapa meter dari kediaman empat keluarga di Taman Haji Hadi, Kota Bahru membuatkan penghuni rumah tersebut tidak dapat tidur lena berikutan bimbang jika berlaku tanah runtuh.
Difahamkan aliran air deras dari bawah tanah telah mengakibatkan gelinciran tebing sungi sehingga mewujudkan kegusaran ke atas penghuni dua kediaman yang terletak kira-kira 50 meter dari sungai.
Keadaan tanah runtuh pula setinggi lebih 20 meter seperti gaung kecil telah mengakibatkan beberapa aliran mata air yang didakwa boleh mempercepatkan runtuhan tanah.
Sementara itu, penduduk mendakwa pergerakan tanah berlaku setiap kali musim tengkujuh dan runtuhan tebing sungai pula bermula tiga tahun lalu.
Menurut seorang penduduk, Saliza Mohamed, 52, dia sudah memindahkan semua dokumen penting ke pejabat suaminya kerana mendakwa keadaan rumahnya tidak selamat untuk didiami.
Katanya, ruang dapur rumah turut mengalami pergerakan tanah terutama di kawasan sinki.
“Kami sudah tidak dapat tidur lena sejak tiga tahun lalu selepas berlaku hakisan di kawasan belakang rumah,” katanya.
Tambah Saliza, ketika mula membeli rumah pada 2018, tanah rizab sungai di belakang kediamannya sangat luas tetapi kini sudah berlaku hakisan hampir 100 meter ke arah kediaman itu.
Jirannya, Harniza Yaacob, 53, pula berkata bunyi aliran sungai yang kuat pada waktu malam sangat menakutkan kerana ada waktunya dia terpaksa tinggal berseorangan jika anaknya keluar bekerja.
Dia yang baru sahaja kematian suami kira-kira tiga bulan lalu juga tidak lena tidur terutama jika hujan lebat selain kejadian terbaru, pergerakan tanah berlaku kurang 20 meter dari rumahnya.
“Ke mana kami mahu pergi. Kami terpaksa bertahan kerana ini sahaja kediaman kami.
“Saya terpaksa pasang lampu limpah sejak tiga tahun lalu selepas berlaku pergerakan tanah serta hakisan akibat aliran air di sekitar rumah.
“Saya tidak tahu nasib kami di sini kerana setiap hari ada gelinciran tanah berikutan aliran sungai deras terutama ketika air pasang,” katanya.
Bagi Mohd Nawi Yaakob, 53, pula mendakwa runtuhan tanah kerap berlaku sejak 2009 sehingga kini hanya kira-kira dua meter sahaja dari pagar belakang rumahnya.
Mohd Nawi berkata, keadaan itu bukan sahaja membahayakan penduduk di tepi sungai malah turut memberi kesan kepada 13 kediaman lain di taman perumahan berkenaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saizol Ismail memaklumkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan akan melakukan tinjauan segera.
Insiden yang dilaporkan Harian Metro itu turut mengatakan Saizol akan berbincang dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran negeri berkaitan masalah hakisan sungai dan tanah runtuh di kawasan ini.
Baca juga: