Takut rezeki jadi haram, pendakwah nasihat agar laksana tugas dengan penuh integriti

Dalam kehidupan seharian, setiap individu pastinya diuji dengan cabaran bagi melihat sejauh mana etika semasa melakukan pekerjaan yang diamanahkan kepadanya.

Isu tular seorang penjawat awam yang memberikan ‘diskaun’ saman terhadap warga asing mencetuskan persoalan tentang integriti dalam melaksanakan tugas.

Bukan sahaja menjejaskan institusi berunifon, malah perkara tersebut turut menyebabkan negara terpaksa menanggung malu memandangkan perkara tersebut dimuat naik ke internet.

Mengulas mengenai hal itu, pendakwah dan juga Guru Al Quran dan Pendidikan Islam AIU International School, Ahmad Taufiq Redzuan, 35, menganggap tindakan individu terbabit memberi pandangan buruk terhadap imej seseorang kakitangan awam.

Katanya, pekerja khususnya beragama Islam perlu mempraktikkan nilai amanah yang mana ia merupakan sifat mahmudah yang diterapkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

“Kalau kita imbau zaman kafir quraisy, mereka tertarik dengan memeluk agama islam disebabkan sifat amanah yang nabi tonjolkan dalam setiap kerja buatnya.

Ahmad Taufiq Redzuan

“Tak patut bagi seorang muslim yang telah pun diamanahkan melakukan tugas, namun disempurnakan dalam keadaan yang sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Khamis.

Ahli akademik itu turut menegaskan bahawa setiap pegangan agama juga pastinya melarang seseorang itu untuk tidak jujur dalam menjalankan pekerjaan.

“Intergriti ini adalah sebuah perkara yang tidak boleh kita ambil mudah kerana ia terkait dengan keberkatan seseorang individu bekerja.

“Isu ini adalah seumpama dengan rasuah yang mana Rasulullah S.A.W telah melaknat (mengutuk) pemberi rasuah dan penerima rasuah.

“Oleh itu, kalau kita berlaku tidak jujur dalam ketika kita melaksanakan tugas, mengambil hak orang lain, dan menerima maka pendapatan atau hasil yang kita peroleh itu jatuh haram hukumnya,” tambahnya lagi.

Melihat kepada sitausi itu, beliau mengharapkan agar setiap individu yang bekerja tidak mengira sama ada sektor swasta atau kerajaan, mahupun menjalankan perniagaan, perlulah mengamalkan sikap bertanggungjawab dan amanah.

“Ingat, melaksanakan tanggungjawab dengan dengan penuh integriti agar rezeki yang diperoleh itu mendapat keberkatan daripada Sang Pencipta.

“Haruslah diingatkan bahawa setiap perlakuan kita sentiasa diperhatikan oleh Allah S.W.T setiap saat dan bekerjalah dengan sebaiknya serta pastikan kita berintegriti dalam setiap langkah dan gerak-geri kita.

“Dalam pada itu juga, bersama-sama kita memastikan supaya setiap daripada kita mempunyai akhlak yang baik bagi melahirkan individu yang ikhlas dan amanah,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat