Johor bakal wujudkan program Smart Sawah Berskala Besar

Bagi menggalakkan penanaman padi di negeri Johor, program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) akan diperkenalkan sekali gus mampu meningkatkan hasil padi tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lokasi yang bersesuaian untuk melaksanakan program Smart SBB Ala Sekinchan itu.

Katanya, dianggarkan kawasan dengan memiliki keluasan kira-kira 50 hektar akan dijadikan sebagai tempat Smart SBB.

“Smart SBB Ala Sekinchan adalah amalan pertanian berhasil tinggi yang akan meningkatkan hasil pengeluaran padi daripada tujuh tan bagi setiap hektar kepada 10 tan sehektar.

“Tanaman padi ala Sekinchan ini mestilah tanaman yang mengikuti masa yang betul, baja yang sesuai dan pengairan yang sesuai.

“Kalau tidak ada pengairan yang cukup, maka dia tidak boleh untuk kita buat ala Sekinchan dengan sempurna dan dari segi penjagaan mestilah pesawah padi tidak boleh melakukan kerja sambilan.

“Mereka kena jadikan pesawah sebagai kerja tetap seperti profesional,” katanya ketika hadir ke sesi lawatan Sawah Ring, Tangkak pada Isnin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.

Mengikut rekod, Johor kini memiliki 10 sawah padi seluas 2,254 hektar merangkumi di Tangkak (842.97 hektar), Muar (364.22 hektar), Mersing (549.38 hektar), Batu Pahat (141.70 hektar) dan Kluang (356.12 hektar) membabitkan 859 pesawah.

Selain itu, hasil padi Johor mencatatkan peningkatan 30.1 peratus pada musim menuai utama bagi tempoh 2021 hingga 2022 berbanding tempoh pengeluaran 2020 hingga 2021 iaitu peningkatan hasil padi daripada 4,746 tan kepada 6,225 tan.

Dalam pada itu, kementerian tersebut turut akan menyalurkan peruntukan RM3.45 juta bagi memperkasakan projek penanaman padi di Sawah Ring, Tangkak, bagi tujuan selenggara dan penambahbaikan sawah termasuk jalan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, peruntukan ini dijangka memberi impak besar kepada penghasilan padi yang lebih berkualiti dan bermutu tinggi serta memberi manfaat kepada pesawah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat