Pemandu Singapura berlagak samseng, berang guna laluan kecemasan dihalang sampai mengamuk hayun tongkat

Perasaan tidak berpuas hati dipercayai menjadi punca perselisihan faham antara seorang pemandu tempatan dan Singapura di Kilometer 139.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Pagoh pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 1.58 petang ketika pemandu Toyota Fortuner yang dipandu oleh warga tempatan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Katanya, pemandu tersebut menyedari sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer dengan nombor pendaftaran Singapura berwarna merah menggunakan laluan kecemasan. Oleh itu, pemandu tempatan berkenaan bertindak untuk menghalang laluan kenderaan asing itu.

“Tindakan itu menyebabkan pergaduhan mulut antara mangsa dan suspek sebelum lelaki warga asing mengetuk cermin kenderaan lelaki warga tempatan menggunakan sebatang tongkat.

“Suspek terus beredar dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Raiz Mukhliz berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 53 (1) Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959.

“Diharapkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian dan mengganggu gugat ketenteraman awam,” katanya.

Insiden perselisihan faham itu dirakam manakala video tular berdurasi 54 saat tular di media sosial.

Kejadian itu dilihat berlaku ketika lebuh raya sesak dan pemandu Mitsubishi dilihat cuba melanggar seorang lelaki sebelum keluar dari kenderaan membawa tongkat kayu dan memukul pemandu Toyota Innova.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat