Kira-kira 3,000 pengunjung tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena alam laut terbelah ataupun ‘sandbar walk’ yang muncul sekali dalam setahun di Tanjung Rhu, Langkawi pada Ahad.
Fenomena laut terbelah berlaku selama tempoh satu jam 15 minit bermula seawal 6.45 pagi selepas air laut surut sehingga 0.1 meter (m) di kawasan itu sebelum muncul beting pasir sepanjang 600 m di Pantai Tanjung Rhu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, keunikan fenomena itu telah dipromosikan sebagai produk pelancongan di Langkawi sejak empat tahun lalu.
“Kami menganggarkan 3,000 pengunjung terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong tiba di sini seawal jam 6.30 pagi untuk menyaksikan fenomena air surut sepenuhnya dan berjalan di atas jalur pasir sehingga 600 m.
“Fenomena ini dikatakan sudah berlaku lebih 19 tahun lalu. Bagaimanapun, LADA mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama dengan hotel berhampiran dan mempromosikannya sebagai produk pelancongan empat tahun lalu,” katanya.
Turut hadir menyaksikan fenomena itu ialah Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah.
Difahamkan, rata-rata pengunjung dapat berjalan dari kawasan pantai hingga ke Pulau Ketam Baya dan Pulau Chabang ketika fenomena itu berlaku.
Ketika fenomena itu juga, pengunjung turut berpeluang melihat pelbagai kehidupan laut seperti kuda laut, obor-obor, tapak sulaiman dan banyak lagi khazanah laut yang terdampar dalam keadaan hidup.
Baca juga: