Pegawai penyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi, mengatakan dia diarahkan agar tidak meneruskan siasatan skandal syarikat pelaburan strategik negara selepas pelantikan ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu pada Selasa.
Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin, 37, berkata, arahan tersebut diterima selepas Tan Sri Dzulkifli Ahmad menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016.
Menurut laporan Berita Harian itu lagi, saksi pendakwaan ke-49 itu yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada sesi pemeriksaan utama, memberitahu, beliau bagaimanapun tida mengingati individu yang mengeluarkan arahan tersebut, namun ada membuat catatan dalam diari siasatan.
Ahmad Akram turut menyoal tentang bagaimana perkara itu berkait dengan kes 1MDB.
Nur Aida kemudian menjawab; “Ia bagi tujuan melindungi Datuk Seri Najib Razak daripada siasatan dan pendakwaan dalam kes ini.”
Dia berkata demikian selepas mahkamah mendengar rakaman perbualan antara Najib, Rosmah dan bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazruddin.
Laporan tersebut turut menyatakan tentang kandungan perbualan berkaitan kes 1MDB yang disiasat melibatkan laporan polis yang menyatakan wujud konspirasi antara bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Abu Kasim untuk menggulingkan kerajaan ketika itu dan Najib yang ketika itu memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
Kemudian, Nur Aida berkata, hasil siasatannya, dia tidak menemukan sebarang surat bertulis yang diserahkan Najib kepada Raja Abdullah atau Kerajaan Arab Saudi sebagai tanda penghargaan atau terima kasih atas sebarang pemberian derma seperti didakwa Najib.
Bagaimanapun, pihaknya hanya menerima empat salinan surat Arab Saudi berkaitan derma kepada Najib yang mendakwa diterimanya daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Pihaknya turut tidak menerima surat asal dalam milikan Najib selepas membuat pemeriksaan di Pejabat Perdana Menteri.
Terdahulu, Najib berdepan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Baca juga: