Mahkamah

Warga asing sembunyi bawah katil, elak ditahan imigresen

Seorang wanita warga Indonesia bertindak bersembunyi di bawah katil ketika Op Bersepadu di Rumah Pangsa Panorama Lapangan Perdana tengah malam Ahad.

Wanita itu antara 23 warga asing yang diberkas atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak bermula 11.50 malam sehingga 2.30 pagi Isnin.

Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 53 unit rumah dan 68 warga asing.

“Hasil pemeriksaan telah mengesan 23 daripadanya membabitkan 14 lelaki, lima perempuan, seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan warga Indonesia serta seorang lelaki warga Myanmar, berusia dua tahun hingga 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua daripada mereka tinggal lebih masa, 20 orang didapati tiada dokumen sah dan seorang ditahan kerana melindungi pendatang asing.

Meor Hezbullah menyatakan bahawa pihaknya turut menyeru pemilik rumah supaya menyemak dokumen atau permit warga asing sebelum menyewakan premis mereka.

Tambah beliau, jika pemilik rumah bertindak menyewakan rumah kepada warga asing yang melanggar Akta Imigresen, tindakan boleh diambil kepada tuan rumah mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close