Tanggungjawab mentadbir negara tidak menjadi halangan buat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Sabah, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif untuk menghasilkan lagu buat penyanyi serta komposer, Daqmie.
Bukan satu, tetapi tiga buah lagu dihasilkan beliau sempena meraikan kedatangan bulan Ramadan pada Mac depan.
Katanya, tertarik dengan usaha Daqmie yang banyak menghasilkan lagu genre ketuhanan telah memberi inspirasi kepada dirinya untuk menulis puisi, sekali gus menjadikan ia sebagai lagu.
“Lirik lagu ini sudah siap lama dan pernah dinyanyikan oleh satu kumpulan nasyid di Sabah.
“Selepas berjumpa dengan Daqmie, timbul idea untuk bekerjasama. Lagu ini kemudiannya diberi nafas baharu sebelum dimuatkan dalam album itu.
“Ini adalah kali pertama saya bekerjasama dengan Daqmie. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kerana diberi peluang menyumbangkan lirik,” katanya dalam satu sidang media pelancaran album Ramadhan 1445 di sebuah restoran di ibu kota pada Selasa.
Album baharu penyanyi nasyid dan komposer lagu ketuhanan, Daqmie, 53, berjudul Ramadan 1445 mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat sentuhan daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif, yang bertindak sebagai penulis lirik berkenaan.
Mohd Ariffin turut menyumbangkan dua lirik lagu dalam album itu yang berjudul Bulan Kemuliaan dan Rasul Junjungan, sekali gus beliau meluahkan rasa teruja atas peluang yang diberikan.
Mengulas mengenai penglibatannya dunia penulisan, Mohd Ariffin memaklumkan bakatnya mula bercambah ketika masih di bangku sekolah.
“Saya mula menulis ketika di sekolah menengah dan bermula sebagai penyair. Fokus saya lebih kepada penulisan puisi dan lagu nasyid. Menulis juga saya anggap sebagai terapi.
“Karya seharusnya menjadi ibadah, bukan sahaja di dunia, malah akhirat,” ujarnya.
Lagu Rasul Junjungan dan Bulan Kemuliaan dinyanyikan Daqmie bersama kumpulan nasyid dari Sabah, Syahmura dan menjadi antara 18 lagu yang turut dimuatkan dalam album baharu penyanyi itu.
Cetakan pertama album terbabit dalam bentuk pemacu pena (USB) sebanyak 500 unit sudah habis dijual dan kini sedang dalam fasa ulang cetak.
Baca juga: