Kanak-kanak 13 tahun dakwa jadi individu pertama di dunia sembuh penyakit kanser otak

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dari Belgium menjadi individu pertama di dunia berjaya sembuh daripada penyakit kanser otak.

Seawal usia enam tahun, Lucas Jemeljanova, didiagnosis menghidap diffuse intrinsic pontine glioma (DIPG) iaitu tumor otak yang sangat jarang berlaku dan mampu mengakibatkan kematian sebanyak 98 peratus bagi penghidap dalam tempoh lima tahun.

Jemeljanova bertuah apabila dipilih untuk mendapatkan rawatan daripada sekumpulan pakar yang mengadakan percubaan rawatan klinikal ke atas penyakit krtitikal di pusat kajian kanser, Gustave Roussy, Paris digelarkan sebagai BIOMEDE.

Setelah tujuh tahun menjalani rawatan, tahap kesihatan Jemeljanova beransur pulih dan mempamerkan reaksi positif apabila doktor tidak mengesan kehadiran penyakit kronik itu lagi.

Memetik laporan Daily Mail, teknik perubatan dan pengambilan ubat tertentu dapat berjaya memberikan kesan positif kepada pesakit,

Dr Jacques Grill yang merawat Jemeljanova kemudian mengesahkan kanak-kanak bertuah secara rasmi tidak menghidapi penyakit kronik itu.

“BIOMEDE merupakan salah satu kaedah sedang menguji potensi ubat baharu untuk DIPG. Ubat itu dapat menghentikan atau melambatkan pertumbuhan kanser dengan menghalang sel kanser daripada membiak dan dengan mengurangkan bekalan darah ke sel tumor,” katanya.

Penggunaan ubat tersebut turut mendapat kelulusan daripada Pentadbir Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat (AS) sebagai ubat preskripsi untuk merawat pelbagai jenis kanser.

“Dalam beberapa siri imbasan MRI (pengimejan resonan magnetik), saya melihat tumor itu hilang sepenuhnya, soalnya bagaimana Jemeljanova boleh pulih dengan baik masih tidak diketahui.” kata Dr Grill, yang juga ketua program tumor otak di pusat kanser Gustave Roussy di Paris.

Dilaporkan tujuh kanak-kanak lain yang menjalani ujian sama dianggap sebagai ‘long responder’ (bertindak balas lambat) selepas mereka tidak mengalami sakit yang lebih teruk selama tiga tahun sebaik saja diagnosis, namun hanya tumor Jemeljanova yang hilang sepenuhnya.

Baca lagi: