Pelakon veteren tanah air, Datuk Sarimah Ahmad, 82, meluahkan rasa syukur apabila kesihatannya kini dilaporkan semakin baik setelah disahkan menghidap penyakit kanser kolon atau kanser usus tahap tiga pada 2022
Katanya, pada tahun yang sama, beliau telah menjalani pembedahan membuang kanser tersebut.
”Selepas menjalani pembedahan, alhamdulillah saya bersyukur kerana Allah SWT memberikan kesihatan yang lebih baik buat saya.
”Saya juga amalkan pemakanan yang sihat setiap hari seperti memakan buah-buahan berkhasiat dan organik,” katanya ketika ditemui di kediaman beliau pada Khamis.
Dalam pada itu, pelakon filem klasik Ibu Mertuaku itu turut menerima kunjungan daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Ahmad Farhan Fauzi yang hadir ke kediamannya sempena program Ziarah Madani.
Di samping itu, Sarimah turut berkongsikan tentang kepayahan beliau saat berdepan dengan masalah kewangan, terutama bagi menampuh kos rawatan yang tinggi.
”Sebenarnya ketika itu saya mengalami masalah kewangan dan perlu menyediakan wang berjumlah RM60,000 untuk kos rawatan.
”Saya sedar dan tidak mahu menyusahkan sesiapa dengan meminta bantuan, maka saya dan anak-anak berusaha untuk mengumpulkan kos rawatan dengan wang simpanan sendiri kerana tidak mahu menagih simpati pada orang ramai.
”Semuanya sudah selesai kini, saya tidak mahu berhutang dengan sesiapa kerana risau bakal jadi ungkitan pada masa akan datang,” ujarnya.
Untuk info, Sarimah memulakan karier lakonannya dalam filem Ali Baba Bujang Lapok yang diterbitkan pada 1961. Kemudian, namanya meningkat naik dan telah membintangi lebih 50 buah filem.
Antara filem beliau ialah Tiga Abdul, Madu Tiga, Dayang Senandong, Bidasari, Sri Andalas, Menanti Hari Esok, Tiada Esok Bagimu, Si Tanggang serta Labu dan Labi.
Baca juga: