Polis ambil tindakan terhadap pemandu van halang laluan ambulans

Kejadian seorang lelaki yang memandu sebuah van dan menghalang laluan kepada ambulans di Lebuhraya Pasir Gudang, Johor telah dikenakan saman kerana sikapnya yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya telah mengesan satu video rakaman tular di media sosial yang berdurasi 47 saat pada pukul 3.30 petang pada Sabtu.

Menerusi video rakaman tersebut memaparkan pemandu van jenis Toyota Hiace telah bertindak menghalang laluan ambulans dan tidak mengendahkannya.

“Van berwarna putih jenis Toyota Hiace itu dilihat tidak mengendahkan untuk memberi laluan walaupun siren telah dibunyikan serta lampu mata arah telah dinyalakan hingga ambulans tersebut terpaksa memotong di lorong kiri.

“Susulan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seri Alam berjaya mengesan pemandu berkenaan dan mengenakan saman berjumlah RM300 kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 9(2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 166/59 kerana tidak memberikan laluan kepada kenderaan polis/ambulans/bomba/penjara/kastam/Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya seperti dilaporkan media.

Selain itu, lelaki yang berusia 38 tahun itu turut disiasat mengikut Seksyen 56(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak memiliki lesen memandu vokasional (GDL) dan mendapati lelaki tersebut mempunyai tujuh saman kesalahan trafik lain.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat