Israel bakal lancar serangan di Rafah, Mesir nafi sedia kawasan selamat untuk rakyat Palestin

Tentera Israel dijangkakan akan melaksanakan serangan berskala penuh ke atas penduduk Palestin di Gaza selain melancarkan serangan darat ke bandar Rafah yang terletak di Selatan Wilayah itu.

Menurut laporan Reuters, ketua tentera Israel percaya usaha mereka itu akan berjaya melenyapkan pejuang Hamas sebelum beralih kepada serangan udara.

Bekas pegawai perisikan Israel, Avi Melamed menyatakan, mereka yakin bahawa cadangan mengadakan serangan ke atas penduduk di Rafah tidak mendapat tentangan daripada pihak antarabangsa.

“Rafah adalah kubu terakhir dalam kawalan Hamas dan masih ada batalion di rafah yang perlu ditumpaskan Israel untuk mereka mencapai matlamat mereka dalam perang ini,” katanya.

Lebih sejuta orang awam di Palestin bersesak di Rafah kerana tiada lokasi lain yang boleh dijadikan sebagai tempat perlindungan memandangkan sebahagian besar kawasan Semenanjung Gaza musnah akibat peperangan.

Bagaimanapun, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dikatakan telah menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu agar tidak melancarkan operasi ketenteraan di Rafah, tanpa rancangan yang boleh menjamin keselamatan orang awam.

Mengulas mengenai perkara itu, Netanyahu mengatakan, orang awam dibenarkan untuk meninggalkan zon pertempuran sebelum serangan, meskipun beliau bersumpah untuk kemenangan sepenuhnya terhadap Hamas.

Namun, Angkatan Tentera Israel (IDF), tidak menjelaskan bagaimana mereka akan memindahkan lebih daripada sejuta rakyat Palestin daripada kawasan yang dipenuhi runtuhan itu.

Pegawai pertahanan Israel berkata, rakyat Palestin tidak dibenarkan kembali ke utara Gaza secara beramai-ramai, mengatakan bahawa zon utara kawasan itu tidak selamat tanpa bekalan tenaga api dan air.

Meskipun kawasan Rafah berada di sempadan Mesir, kerajaan Mesir menafikan mereka membuat sebarang persediaan untuk menyediakan kawasan yang boleh menampung rakyat Palestin.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/02/18/polis-ambil-tindakan-terhadap-pemandu-van-mengahalang-laluan-ambulans/