Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditemui lemas selepas hangut di Sungai Ketil, Kampung Kuala Merah pada Rabu.
Mayat Muhamad Fakhrullah Mohamad ditemui tersangkut pada reba (ranting-ranting) pokok di bawah air di lokasi terakhir dia dilihat sebelum lemas.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat dijumpai kira-kira pukul 10 pagi Rabu oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang memulakan operasi sejak petang Selasa.
“Mayat ditemui di lokasi sama dia hilang dan tersangkut pada reba di dalam air dan dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Baling bergegas ke lokasi kejadian bersama sepuluh orang anggota dan sebuah jentera dan kenderaan unit EMRS sebaik menerima panggilan kecemasan tersebut pada pukul 6.29 petang pada Selasa.
Menurut Ketua Balai Bomba Baling, PPgB Mohd Jamil selaku Komander Operasi, mangsa seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas dan hanyut di sungai berkenaan
“Tindakan awal pasukan Bomba adalah dengan melakukan pencarian melalui kaedah “surface searching” di sepanjang lokasi mangsa terjatuh dan di gigi air sungai.
“Operasi SAR bersambung pada awal pagi Rabu bermula pada pukul 8.42 pagi serta di bantu oleh pasukan Unit Pengesan (K9) sebelum mangsa dijumpai tidak lama selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Difahamkan, operasi tersebut turut dibantu oleh agensi lain antaranya adalah, anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang berhampiran, PDRM, APM dan Unit Amal.
Turut hadir ke lokasi kejadian, Pengarah JBPM Negeri Kedah, YS PKPjB Awang Hidzel bin Awang Bujang turut hadir di lokasi kejadian bagi memantau operasi SAR yang dijalankan.
Terdahulu, mangsa dikhuatiri lemas setelah dipercayai mandi bersama lapan orang rakannya di sungai tersebut.
Muhamad Fakhrullah yang berasal dari Kampung Sungai Bemban merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Puteri.
Baca juga: