Sasar cipta nama di Hong Kong, Nurul Izzah yakin mampu harumkan nama negara

Atlet berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menyasarkan untuk memperbaharui rekod kebangsaan di Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara (UCI) Hong Kong, bulan depan.

Setelah berjaya mencatat kejayaan dua pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024, Nurul Izzah meletakkan sasaran baharu terhadap kerjayanya.

“Mengenai UCI Hong Kong, saya sasar untuk acara ujian masa 200 meter(m), pecut berpasukan saya boleh perbaiki lagi, mungkin pecahkan rekod kebangsaan.

“Untuk naik podium boleh, tapi agak susah sikit sebab saya pun masih di top 20, saya akan cuba yang terbaik,” katanya lapor Bernama.

Nurul Izzah mengharapkan agar beliau dapat dimasukkan ke dalam Program Road to Gold (RTG) bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028, dalam usaha merebut tiket ke temasya sukan berprestij itu dalam tempoh empat tahun akan datang.

Beliau turut optimis meningkatkan kepantasannya setanding dengan kelajuan pelumba berkelas dunia untuk memastikan mampu memberi saingan sengit terhadap pelumba negara lain.

Sebelum ini, Nurul Izzah diberikan julukan The Pocket Rocket Women apabila beliau berjaya muncul juara acara keirin dan acara ujian masa 500m wanita.

Baca juga:


Anda Mungkin Berminat