Sukan

Harimau Malaya tewaskan Blue Tigers, mara ke final Pestabola Merdeka

Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir Pestabola Merdeka menentang Tajikistan Selasa ini selepas menewaskan India 4-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Seperti dijangka India yang mendudukki ranking ke-102 dunia tampil agresif dan hampir membuka jaringan menerusi asakan seawal minit pertama yang menggegar palang gol.

Bagaimanapun pantas menyerap tekanan awal lawan, Harimau Malaya di depan hasil rembatan jarak dekat pemain pertahanan Dion Cools pada minit ke-8 susulan sepakan sudut.

Kegembiraan skuad bimbingan Kim Pan Gon tidak lama apabila kealpaan pertahanan segera dihukum India apabila menyamakan kedudukan menerusi Mahesh Singh selang empat minit kemudian.

Stadium Nasional Bukit Jalil kembali gamat selepas apabila Malaysia dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-17 selepas Darren Lok dikasari pertahanan lawan.

Ariff Aiman Hanapi menyempurnakannya untuk kedudukan Malaysia 2- 1.

Skuad pelawat bimbingan jurulatih Craotia, Igor Stimac itu sekali lagi tersentak apabila Faisal Halim menjaringkan gol ketiga untuk Malaysia mendahului 3-1 pada babak pertama.

Enam minit selepas permainan bersambung, India kembali mencemaskan skuad kebangsaan apabila Sunil Chhettri merapatkan kedudukan 2-3.

Namun Malaysia pantas memperkemaskan rentak hasilnya giliran seorang lagi pemain pertahanan, Corbin Ong menjarakkan kedudukan 4-2 sepuluh minit berselang.

Perlawanan makin rancak menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Begitupun Malaysia kental mempertahankan kelebihan dua gol sehingga wisel penamat untuk kemenangan 4-2.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close