Wanita warganegara Thailand maut jatuh tingkat 23, disyaki ditolak teman lelaki

Seorang wanita warga Thailand berusia 32 tahun maut selepas didakwa ditolak teman lelakinya dari tingkat 23 ke tingkat tujuh di sebuah kondominium, Setia Alam pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 10.02 malam.

“Berdasarkan keterangan saksi, mangsa dan suspek kedengaran bertengkar sebelum ditolak dari tingkat 23 kondominium berkenaan.

“Polis berjaya menahan suspek berusia 37 tahun di tempat kejadian kira-kira jam 10.10 malam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Suspek yang bekerja sebagai pemandu lori mempunyai rekod jenayah lampau dengan tujuh kesalahan dan dia juga didapati positif ganja.

“Polis sedang menyiasat kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala suspek akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Justeru itu orang ramai juga digesa untuk menghubungi pegawai penyiasat Asisten Supt Muhammad Khairi Kamaruddin di talian 012-266 6025 atau melaporkan di balai berhampiran jika mempunyai sebarang maklumat.

Baca juga: